Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri
Tuesday, 4 December 2012 | Tuesday, December 04, 2012 | 0 comments
1. Kesalahan menggunakan kata ganti nama diri untuk binatang, benda, tempat dan benda abstrak dalam binaan ayat.Contoh:
a. Bajunya koyak. Ia perlu dijahit. (x)
sepatutnya:
Bajunya koyak. Bajunya perlu dijahit.
b. Anjing itu menyalak. Ia kelaparan. (x)
sepatutnya:
Anjing itu menyalak. Anjing itu kelaparan.
Ulasan:
Dalam bahasa Melayu, hanya manusia menggunakan kata ganti nama diri. Benda, haiwan, tempat dan benda abstrak tidak mempunyai kata ganti nama diri.
2. Kesalahan kerana menggunakan kata ganti nama diri beliau untuk menggantikan nama kanak-kanak, penjenayah, penagih dadah atau orang yang dianggap rendah moral atau akhlaknya.
Contoh:
a. Penagih dadah itu ditangkap oleh polis ketika beliau dalam keadaan khayal. (x)
sepatutnya:
Penagih dadah itu ditangkap oleh polis ketika dia dalam keadaan khayal.
b. Kanak-kanak itu menangis. Beliau kehilangan ibunya. (x)
sepatutnya:
Kanak-kanak itu menangis. Dia kehilangan ibunya.
Ulasan:
Kata ganti nama diri beliau hanya digunakan untuk orang yang baik, dihormati dan berjasa seperti guru, ibu bapa dan pemimpin.
3. Kesalahan menggabungkan kata ganti nama diri ia dan nya menjadi ianya.
Contoh:
a. Jika Ali tidak menjelaskan yuran peperiksaan, ianya tidak akan dibenarkan menduduki peperiksaan. (x)
sepatutnya:
Jika Ali tidak menjelaskan yuran peperiksaan, ia tidak akan dibenarkan menduduki peperiksaan.
b. Jika melawan ianya akan dikenakan hukuman yang lebih berat. (x)
sepatutnya:
Jika melawan ia akan dikenakan hukuman yang lebih berat.
Ulasan:
Dalam penulisan atau binaan ayat, kata ganti nama diri tidak boleh digabungkan dua sekali gus kerana akan menyebabkan pengulangan nama diri orang yang disebut dalam ayat berkenaan.
4. Kesalahan menggunakan kata ganti nama diri ia sebagai objek kepada kata sendi atau kata kerja transitif.
Contoh:
a. Kami tidak suka berkawan dengan ia. (x)
sepatutnya:
Kami tidak suka berkawan dengan dia / nya.
b. Sudah lama saya menunggu ia datang. (x)
sepatutnya:
Sudah lama saya menunggu dia datang.
Ulasan:
Kata ganti nama diri ia tidak boleh digunakan sebagai objek kepada kata sendi nama atau kata kerja transitif.
5. Kesalahan kerana menggunakan kata ganti nama diri ia sebagai pelaku dalam ayat pasif diri ketiga.
Contoh:
a. Baju itu belum dijahit ia. (x)
sepatutnya:
Baju itu belum dijahitnya.
b. Rumah itu sudah dicat ia. (x)
sepatutnya:
Rumah itu sudah dicatnya.
Ulasan:
Dalam binaan ayat, kata ganti nama diri ia tidak boleh berfungsi sebagai pelaku dalam ayat pasif diri ketiga.





