Petikan pemahaman - rencana
Sunday, 2 December 2012 | Sunday, December 02, 2012 | 0 comments
Arahan: Baca petikan di bawah dan jawab soalan berikutnya.
Dalam usaha untuk menangani masalah ini, pelbagai pihak telah menyuarakan pendapat dan pandangan masing-masing. Satu daripada cara untuk menangani masalah tersebut adalah dengan melarang golongan remaja yang berusia kurang daripada 18 tahun daripada memasuki pusat-pusat hiburan seperti pusat permainan video, pusat permainan snuker, kafe siber dan sebagainya. Larangan ini dapat mengelakkan para remaja daripada membuang masa dengan permainan atau hiburan sehingga mereka mengabaikan pelajaran. Lazimnya, para remaja suka ponteng sekolah dan melepak di pusat-pusat hiburan. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, pelbagai kesan buruk akan timbul.
Selain itu, larangan ini bertujuan menghindarkan golongan remaja daripada melakukan pelbagai gejala negatif, seperti pergaulan bebas, menghisap rokok, menagih dadah, terlibat dengan kegiatan kongsi gelap dan pelbagai gejala negatif lain. Gejala negatif ini akan merugikan dan mendatangkan kesan buruk kepada remaja itu sendiri kerana mereka mudah terpengaruh.
Tindakan melarang remaja berusia kurang daripada 18 tahun daripada memasuki pusat hiburan juga dapat mengurangkan pembaziran wang kerana mereka memerlukan wang yang agak banyak untuk memasuki pusat-pusat hiburan.
Remaja yang selalu mengunjungi pusat-pusat hiburan ini akan hanya terdedah kepada dunia hiburan. Sekiranya keadaan ini berpanjangan, golongan remaja ini akan menjadi malas belajar. Akibatnya, mereka akan tercicir dalam pelajaran dan seterusnya menjadi sampah masyarakat. Oleh itu, dengan adanya larangan atau sekatan bagi remaja mengunjungi pusat-pusat hiburan akan dapat mengelakkan kerugian sumber tenaga muda yang produktif pada masa akan datang.
Kesimpulannya, larangan terhadap remaja yang berusia kurang daripada 18 tahun daripada memasuki pusat-pusat hiburan patut dilaksana dengan tegas oleh pihak berkuasa. Kita tidak mahu nanti nasi sudah menjadi bubur, barulah tindakan diambil.
1. Kata menangani dalam petikan di atas sesuai sekali digantikan dengan perkataan
A. memukuli
B. mengatasi
C. mengancam
D. meneliti
2. Larangan remaja berusia kurang daripada 18 tahun memasuki pusat-pusat hiburan dapat menghindari perkara-perkara berikut, kecuali
A. terlibat dengan dadah
B. terlibat dengan kegiatan kongsi gelap
C. terkandas dalam pelajaran
D. menjejaskan peluang perniagaan
3. Rangkai kata "nasi sudah menjadi bubur" dalam petikan di atas bermaksud
A. sudah sebati
B. sudah terlewat
C. nasi yang telah hancur
D. perbuatan yang sia-sia
4. Yang berikut merupakan sebab para remaja suka mengunjungi pusat-pusat hiburan kecuali
A. untuk mencari hiburan
B. untuk ponteng sekolah
C. untuk menambahkan kenakalan dan berseronok
D. untuk menambah pengetahuan dalam bidang akademik
5. Pilih langkah yang paling sesuai untuk mengatasi masalah remaja yang suka mengunjungi pusat-pusat hiburan ini.
A. Mengadakan kempen kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang
B. Meletakkan papan tanda larangan di pintu masuk ke pusat-pusat hiburan
C. Pemantauan oleh ibu bapa
D. Melalui teguran





